Jumaat, 14 Mei 2010

RAMAH MESRA DAN AGIHAN ZAKAT BERSAMA ERA EDAR MARKETING - MALAYSIA

Tanggal 12 Mei 2010, satu Majlis Ramah Mesra Dan Agihan Zakat bersama ERA EDAR MARKETING SDN. BHD telah diadakan di Dewan At Tasamuh Wal Ikha' Asrama Darul Aman 3 yang dihadiri Pengarah Urusannya Ybhg. Dr. Jamaluddin Mat Piah dan Pengarah Eksekutifnya  Ybhg.Dr. Aishah Azizan. Turut hadir dalam majlis itu, Dekan Kuliyyah Bahasa Arab Universiti Insaniah Ybhg. Prof Madya Dr Mohd Bakhir Abdullah, Timbalan Dekan  Ybhg. Dr. Abdul Ghani Din serta Pensyarah Fakulti Bahasa Arab Universiti Insaniah Ybhg. Prof Madya Dr Syaaban Zainal Abidin.

Atas persetujuan Ybhg. Dr. Jamaluddin, seramai 100 orang pelajar telah dipilih untuk menjadi penerima zakat pada malam itu dengan 80 orang pelajar adalah dari kalangan anak-anak Kedah sendiri. Selebihnya adalah terdiri dari kalangan pelajar yang diambil dari negeri-negeri lain seperti Selangor, Johor, Melaka, Pahang, Perak, Pulau Pinang serta  Wilayah Persekutuan termasuk seorang dari Pattani.







Pihak ERA EDAR MARKETING SDN.BHD yang bertapak di Bandar Darul Aman, Jitra, Kedah Darul Aman ini juga telah turut menaja majlis jamuan pada malam itu dengan tetamu VIP dihidangkan hidangan malam masakan Che Li di kediaman pegawai, manakala pelajar-pelajar yang terpilih sebagai penerima zakat mendapat hidangan malam yang ditempah khas dari Restoran Hadhra Maut terkenal di awwal Abbas Aqqad.






Memulakan majlis malam itu, saya selaku tuan rumah mengucapkan ahlan wa sahlan wa marhaban kepada para tetamu dan juga setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih bagi pihak semua pelajar termasuk dari luar Kedah di atas kesudian pihak ERA EDAR MARKETING beramah mesra dan bersama meringankan beban anak-anak di sini dengan menghulurkan bantuan zakat kepada mereka yang tidak memperolehi sebarang biasiswa maupun pinjaman dari mana-mana pihak.



Dalam ucapan balasnya, Ybhg. Dr Jamaluddin selaku Pengarah Urusan menceritakan sedikit sebanyak perkembangan syarikat yang diasaskan Allahyarham Prof.Dr.Hj.Azizan ini di samping menggalakkan pelajar untuk mendekati bidang perniagaan atau sekurang-kurangnya menyumbang bila pulang nanti untuk bersama memberikan galakan kepada orang lain untuk memperjuangkan perniagaan HALAL ini. Dengan memberikan perbezaan syarikat judi besar yang mula berkembang dari asalnya sebuah syarikat kecil, kemudian boleh begitu besar dan berjaya..., beliau melontarkan persoalan ; kenapa perniagaan HALAL tidak boleh berjaya? Justeru, sikap tidak ambil peduli dan tidak memberi sokongan kepada perniagaan HALAL adalah sebahagian jawapan kepada persoalan mudah itu. 

Setelah turut memberikan sedikit motivasi kepada para pelajar supaya berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan dalam pelajaran, untuk tujuan rekod, beliau kemudiannya menyampaikan sejumlah LE 10,000.00 kepada wakil pelajar dengan Pemangku YDP MKKK Akhi Nazrul menjadi wakil pelajar lelaki dan Tim.Pengerusi HEWI Ukhti Nadiah Ahhmad menjadi wakil pelajar perempuan. Selaku pegawai yang menerima amanahnya, saya kemudiannya mengagihkan  wang zakat itu kepada semua yang hadir pada malam itu.


Bagi pihak pejabat pegawai dan kerajaan, saya mengucapkan jutaan terima kasih di atas keprihatinan pihak ERA EDAR yang jauh datang dari Malaysia dan kemudian sudi untuk berkongsi kepayahan sebahagian anak-anak kita di sini. Semoga Allah ganjari berlipatkaliganda pemberian itu dan Allah berkati dari baki harta yang ada dan Allah bersihkan segala harta yang dikurniakan...semakin betambah makmur, semakin bertambah berkat dari dunia sampai akhirat. Aameen.

ERA EDAR MARKETING SDN BHD. yang memiliki kilang bertaraf The First Homeopathic Manufacturer In South East Asia ini boleh dihubungi di Telefon 04-91999044 Faks 04 9199912 juga boleh dicapai melalui http://www.eraedar.com.my dengan Email : eraedar@eraedar.com.my


Tiada ulasan: