Selasa, 23 Jun 2009

SYRIA – HARI KEDUA 21 JUN 2009

Salam rindu dari kejauhan..


1. Kunjungan Hormat Ke Kedutaan Malaysia Di Syria

Keluar dari hotel penginapan, hari ini saya dan ahli rombongan menuju ke Kedutaan Besar Malaysia di Syria. Rombongan YINK atau kerajaan Negeri Kedah diketuai oleh SS Dato’ Syeikh Uzir YDP MAIK disambut Ketua Canseri En. Ahmad Fahmi yang mewakili Tuan Yang Terutama Duta serta lain-lain pegawai kedutaan termasuk Tuan Hj. Sulaiman Pengarah Jabatan penuntut Malaysia di Jordan yang datang khas untuk bersama dalam majlis rasmia ini. TYT Duta masih berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri Persidangan Ketua-Ketua Luar Negara . Manakala YB Dato’ Hj. Taulan, YB Dato’ Setiusaha Kerajan Negeri dan YB Dato Pegawai Kewangan Negeri telah berlepas awal pagi tadi ke London untuk mengadap Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan di sana.


Ramah mesra di Kedutaan Malaysia Syria

Dalam ucapan mengalu-alukan ahli rombongan,, Ketua Canseri menjelaskan secara ringkas tentang negara Syria sebuah negara sosialis yang semakin berubah menjadi lebih terbuka setelah bertukar presidennya yang baru iaitu Bashar Al-Assad. Banyak pembaharuan yang telah dilakukan antaranya di bidang ekonomi yang semakin berkembang pesat. Syria sebenarnya sebuah negara yang kaya walaupun dalam keadaan disekat sistem perbankannya oleh Amerika. Dengan perkembangan hubungan yang semakin baik dengan Amerika dan barat, negara Syria dijangka akan lebiih cepat mengejar negara-negara membangun dan maju yang lain dalam tempoh yang hampir. Jumlah penduduk Syria kini mencapai lebih 18 juta dengan 8 juta sahaja berada di Damsyik.


Ketua Chanseri En. Ahmad Fahmi dan En. Lokman - Kedutaan Malaysia Syria

Beliau juga menerangkan tentang beberapa masalah dan kekangan yang terpaksa dihadapi oleh pelajar-pelajar Malaysia di Syria khususnya masalah belajar tanpa diberi visa oleh pihak kerajaan. Pelajar Malaysia yang dulunya pernah mencapai 500 orang dan kini sudah merosot dengan banyaknya kerana masalah visa. Kebanyakan pelajar Malaysia di sini sedang belajar di beberapa universiti dan ma’ahad di sekitar Damsyik. Turut menjelaskan masalah berkaitan pelajar Malaysia di Syria Pengarah JPM Jordan yang turut bertanggungjawab berkaitan pelajar Malysia di Syria walaupun beliau berada di Jordan. Usaha sedang dilakukan agar pelajar-pelajar yang hari ini hanya memliki Ishal dan bukan visa akan dapat memiliki visa dengan mendapatkan pengiktirafan Kemnterian Pengajian Tinggi Syria terlebih dahulu. Perkara tersebut bagaimanapun dalam peringkat usaha berterusan dari pihak MSD. Bagi pihak kerajaan Syria, yang jelas mereka telah membuat keputusan baru dengan membuka sebuah Maahad Dauli atau Maahad Antarabangsa yang menempatkan pelajar-pelajar luar negara. Maahad ini dibiayai sepenuhnya dengan bukan sahaja pengajiannya percuma bahkan pelajarnya diberikan wang poket. Hanya pelajar yang belajar di sini sahaja dikatakan akan diberi visa belajar selepas ini.



Bersama pegawai kanan Kedutaan Malaysia Syria, Pengarah MSD Jordan

Bagi pihak rombongan YINK SS Dato’ Syeikh Uzir dalam ucapan balasnya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kedutaan atas kesudian menerima kunjungan pihak kerajaan negeri / YINK dan menyampaikan salam YAB Dato’ Seri MB. Selain menjelaskan tujuan kedatangan rombongan ke Jordan dan Syria untuk meninjau secara dekat keadaan pelajar-pelajar di kedua negara ini. Kebajikan dan masa depan pelajar sentiasa menjadi keutamaan pihak kerajaan yang telah meletakkan tanggungjawab ini kepada pihak YINK sepenuhnya. Sehubungan itu, Tn.Hj Mohd. Zuhdi dalam menjelaskan perkara berkaitan menjelaskan tentang keputusan kerajaan negeri menempatkan seorang pegawai kebajikan yang menjaga kebajikan pelajar di Timur Tengah termasuk di Syria selain Jordan, Mesir selain kemungkinan pada masa terdekat di Morocco.


Majlis berakhir dengan jamuan ringan dan panyampaian cenderamata serta sesi bergambar.


2. Ziarah Makam Sahabat , Isteri dan Keluarga Nabi di Bab Shoghir

Kesesakan berhampiran jalan menuju Bab Shoghir


Mereka yang datang kerana sayang..

Dari Kedutaan Malaysia di Syria kami bertolak ke Bab Shogir iaitu sebuah kawasan maqam dan perkuburan yang juga terletak di tengah Damsyik. Kebanyakan pelancong yang ditemui adalah dari Iran atau dalam bahasa lain kelihatan ramai pengikut Syiah dilihat di sini. Macam tak percaya dapat ziarah makam beberapa sahabat R.A , makam isteri Rasulullah SAW di samping makam ramai ahli bait Rasulullah SAW yang lain.



Makam Sayyidah Ummu Habibah isteri Rasulullah SAW


Makam Sayyidah Ummu Salamah isteri Rasulullah SAW

Makam Sayyidina Bilal ar-Rabah

Di hadapam makam Saiyyidina Bilal ar-Rabah


Kawasan makam agak luas di sebelah kiri jalan, manakala sebelah kanan jalan pula kawasannya agak sempit. Makam sahabat nabi seperti Saidina Bilal ar-Rabah dan Saidina Abdullah bin Ummi Maktum kedua-duanya muazzin Rasulullah yang cukup dikenali dalam sejarah terletak bersama ramai ahli bait Rasulullah termasuk isteri nabi seperti Saiyyidatina Ummu Salamah RA dan Ummu Habibah RA serta ramai nak cucu Nabi terletak di sebelah kiri jalan. Makam Syuhada’ Karbala yang cukup meriah dengan pengikut Syiah yang datang bertali arus pula berada di sebelah kanan jalan.

Makam Syhada' Karbala

Pengikut Syiah sedang meratapi sebuah tragedi

Di hadapan salah satu makam Ahli Bait

Pengikut Syiah meratap di makam Syuhada' Karbala

Makam Sayyidina Abdullah bin Ummi Maktum

Bersama pimpinan pelajar Syria KKDS

Saya juga sempat melihat lokasi Maahad Dauli atau Maahad Duali yang baru dibuka oleh pihak kerajaan Syria yang menempatkan pelajar-pelajar dari pelabagai negara. Maklumat dari pihak kedutaan kita di Syria, pelajar maahad ini akan diberi visa dan mendapat pembiyaan sepenuhnya pihak kerajaan Syria.



3. Ziarah Masjid Omayyah,Makam Nabi Zakaria A.S, Sultan Salahuddin a-Ayyubi


Keluar dari kawasan makam yang agak sesak dengan deretan bas-bas pelancong, kami menuju ke satu lagi lokasi terkenal di Syria iaitu Masjid Omayyah. Masjid ini terletak di hujung Pasar hamidiyah iaitu syurga membeli belah di Syria. Setelah makan tengah hari di salah satu restoran berdekatan Masjid Omayyah yang cukup luas itu, kami dibawa melawat makam Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang terletak di luar kawasan masjid. Kami kemudiannya dibawa masuk ke dalam kawasan masjid dengan kawasan lapangnya yang cukup luas. Saya kagum melihat tempat Sultan Salahuddin al-Ayyubi memberikan ucapan kepada para tenteranya yang berkumpul di kawasan lapang itu. Terbayang kehebatan seorang Sultan yang begitu warak, berani, tegas dan sangat mementingkan solat malam di kalangan tenteranya. Al-aqsa yang hari ini dalam cengkaman Yahudi pernah dibebaskannya!

Makam Sultan Salahuddin al-Ayyubi Rahimahullah

Mimbar di menara...tempat sampaikan arahan!

Kawasan lapangan Masjid Omawi

Latar belakang Masjid Omawi yang dulunya sebuah gereja

Makam Nabi Allah Yahya A.S


Masjid Omayyah sebenarnya berasal dari sebuah gereja sebelum kedatangan Islam ke wilayah Syam. Ia kemudiannya ditukar menjadi masjid setelah penduduknya menerima Islam. Dalamnya terdapat makam Nabi Zakaria A.S yang ditempatkan dalam sebuah bangunan kecil yang cantik. Saya juga berkesempatan melihat tempat al-Imam Ghazali mengarang kitab Ihya’ Ulumuddinnya yang masyhur itu. Tempat ini juga terletak dalam masjid yang luas ini.

Tempat al-Imam al-Ghazali menulis kitab Ihya' Ulumuddin

Selain itu dalam masjid ini terdapat empat mihrab yang mengikut sejarahnya empat mihrab itu dulu adalah tempat pengajian bagi empat pengikut mazhab yang utama iaitu Syafie, Maliki, Hanafi dan Hambali. Sehingga kini Masjid Omayyah sangat terkenal kerana pengajian kembali semarak selepas pemerintahan presidenya yang baru iaitu Basyar Assad. Saya difahamkan pelajar yang bersama saya, di sinilah Syeikh Dr Said Ramadahan Al-Bouthi menyampaikan khutbahnya dan di sinilah disembahyang jenazah para ulama’ besar Syria jika ada kematian…..

Tiada ulasan: