1. MENYAMBUT ROMBONGAN YINK
Jam 8.45 pagi selepas sarapan di hotel, saya bersama Us. Zakaria serta, Us.Aidil dan Us.Bakar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Queen ‘Alia Jordan dengan bas yang disediakan pihak Travel. Lebih kurang 40 minit perjalanan, kami sampai ke sana. Berita baik telah diterima dari pihak MSD Jordan malam tadi tentang kebenaran pihak Kementerian Pengajian Tinggi di Putera Jaya berkaitan permohonan lawatan rasmi ini. Kami menarik nafas lega.
Jam 9.30 kapal terbang yang membawa ahli rombongan Lawatan Kerja Yayasan Islam Negeri Kedah seramai 17 orang selamat mendarat. Lama juga menanti proses visa dan Imegersen. Mula-mula muncul YB. Dato’Hj. Mohd. Puat Pegawai kewangan Negeri diikuti VIP lain seperti YB.Dato’ Hj.Mohamed Taulan Exco Agma, Pelajaran dan Koperasi, YB Dato’ Seraja Setia Dato’ Wira Hj. Rasli Setiausaha Kerajaan Negeri, SS Dato’ Syeikh Uzir YDP Majlis Agama Islam Kedah, Ybhg.Dato’ Syeikh Ghazali Setiausaha Zakat Negeri Kedah serta Ybhg Dato’ Hj. Wan Mustafa Wan Mahmud ahli Lembaga YINK dan isteri. Kesemua VIP yang keluar awal dibawa terlebih dahulu ke Hotel Geneva oleh Us. Zakaria.
Sebuah beg pakaian milik salah seorang kakitangan YINK telah tertinggal di Dubai. Masalah ini menyebabkan saya terpaksa menunggu di luar lebih lama dari yang dijangka. Akhirnya penantian pun berakhir. Mengetuai rombongan menaiki bas yang menanti adalah Pengurus Besar YINK Tuan Hj. Mohd Zuhdi dan isteri, beberapa pegawai dan kakitangan YINK selain pemilik Syarikat Razihan Holiday Sdn. Bhd. Haji Razihan.
Mewakili Us. Zakaria selaku urusetia, saya sempat menyampaikan beberapa butiran berkenaan perjalanan hari ini selain menjelaskan secara ringkas tentang Jordan serta mengucapkan ahlan wasahlan ke Jordan.
2. LAWATAN KE KEDUTAAN MALAYSIA DI JORDAN
Jam 12.30 , ahli rombongan bertolak dengan bas yang setia menanti ke sebuah restoran untuk makan tengah hari. Restoran Nakhlah terletak dalam perjalanan ke Kedutaan Malaysia yang menjadi destinasi rasmi pertama. Ahli rombongan dihidangkan makanan Arab yang istimewa seperti Kebab, Kuftah, Dajjaj, selain Roti Arab, Nasi Arab, Salathoh, Kentang, Thohinah serta ‘Ashir Mangga. Selesai makan, semua ahli rombongan solat jama’ taqdim di surau restoran.
Sampai di bangunan Kedutaan Malaysia Jordan Ketua Chanseri Wong Chia Chiann, Pengarah MSD Jordan Tuan Hj. Sulaiman serta kakitangan kedutaan dan MSD Jordan telah sedia menanti . Ahli rombongan diraikan dalam majlis ramah mesra yang cukup manis untuk dikenang oleh semua. TYT Dato’ Malik Duta Malaysia di Jordan sedang berada di Malaysia atas satu tugasan rasmi. Walaupun beliau tiada, kehadiran hampir semua kakitangan kedutaan dan MSD Jordan sudah cukup menggambarkan penghargaan pihak kedutaan dan MSD atas kunjungan YINK ke Jordan.
Banyak perkara dibincangkan termasuk berkenaan masalah pelajar aliran pengajian Islam/Bahasa Arab dan juga perubatan, kemungkinan pertambahan pelajar Kedah di Jordan selain hasrat kerajaan melihat kebajikan anak-anak Kedah lebih baik dengan penempatan seorang pegawai kebajikan yang meliputi Jordan dan Syria selain Mesir. Pihak MSD Jordan menyambut baik penempatan seorang pegawai yang boleh berperanan secara bersama dengan pihak MSD untuk melihat kebajikan pelajar selain menganjurkan secara bersama kursus-kursus tertentu untuk membekalkan kemahiran insaniah kepada para pelajar memandangkan universiti di Jordan dan Syria tidak berkemampuan memberinya.
Ahli rombongan dihidangkan jamuan ringan sebelum bergambar ramai kenang-kenangan di hadapan pintu masuk ke bangunan Kedutaan Malaysia Jordan.
3. ZIARAH KE GUA ASHABUL KAHFI
Setelah keluar dari Kedutaan Malaysia di Jordan, rombongan ke Gua Ashabul Kahfi di suatu tempat yang dikenali sebagai Gunung Pion. Kisah tujuh orang pemuda yang melarikan diri ke gua , bersembunyi dari seorang raja yang kejam demi menyelmatkan akidah. Mereka tidur selama 309 tahun sebelum dibangkitkan semula oleh Allah SWT.
Dalam perjalanan ke sana, Us.Aidil memberikan beberapa input berkenaan kisah yang dicatat dalam Surah Al-Kahfi itu secara panjang lebar. Beliau juga menjelaskan tentang kisah Laut Mati yang menjadi lokasi berikut selepas ziarah ke Gua Ashabul Kahfi.
Ahli rombongan sampai ke pintu gua dengan disambut azan Asar dari masjid yang dibina ditepi gua bersejarah itu. Masjid itu diberi nama Masjid Kahfi Ahlil Kahfi. Oleh kerana pintu gua dikunci dan pemegangnya solat Asar, maka kami semua terpaksa menanti dengan sabar untuk masuk ke dalam gua.
Bila pintu dibuka, ramai pengunjung yang menanti segera masuk ke dalamnya. Kami mendengar penerangan berkenaan kisah itu secara ringkas dari seorang petugas di situ. Di situ juga terdapat artifak lama yang ditemui di zaman lampau yang diletak di dalam gua untuk pameran.
Setelah mengambil gambar di penanda Gua Al-Kahfi, saya dan lain-lain bertolak ke Laut Mati.
4. MENGAMBIL 'IBRAH DI LAUT MATI
Keluar dari Gua Ashabul Kahfi, kami menuju Laut Mati yang mengambil masa perjalanan sekitar sejam. Perjalanan melalui jalan berbukit yang menempuh cerun dan tanah tinggi mengingatkan saya kepada perjalanan dari Pengkalan Hulu ke tanah Merah Kelantan.Pemandangan rumah-rumah yang dibina di cerun bukit yang tinggi sangat mengujakan.
Untuk sampai ke Laut Mati yang terletak 390 meter bawah aras laut kami terpaksa menempuh kawasan berbukit dan yang kadangkala dilihat kering gersang. Namun di setengah tempat ia kelihatan subur dengan tanaman seperti jagung, zaitun, kurma dan pisang. Teringat saya kepada masih banyak tanah di tanah air kita yang subur tapi tidak ditanam apa-apa. Rajinnya kita!
Sampai di Laut Mati, kelihatan ramai pengunjung tempatan dan pelancong asing yang mengambil kesempatan mandi. Semasa saya sampai ke sini pada tahun 1991 dahulu Laut Mati tiada kemudahan seperti hari ini. Kini ada kolam mandi air tawar yang luas dan bertingkat disediakan untuk kemudahan pelawat dengan bayaran tertentu. Ramai juga yang memilih mandi dalam laut Mati yang kandungan garamnya sangat tepu itu. Dikatakan kandungan garamnya tujuh kali ganda lautan biasa. Ini menyebabkan tiada hidupan yang dapat hidup dalam Laut Mati. Bahkan orang yang masuk ke dalamnya tidak tenggelam walaupun cuba untuk menyelam! Saya lihat ada di kalangan pelancong asing yang membedakkan badan dengan lumpur Laut Mati. Sedangkan sebenarnya tiada bukti saintifik pun yang membuktikan lumpur Laut Mati boleh memberi kesembuhan. Apa lagi kalu dilihat melalui pandangan Agama. Mana mungkin tempat yang dilaknat Allah SWT, tiba-tiba dapat memberikan kesembuhan!
Oleh kerana datang dari jauh, ada di kalangan ahli rombongan yang mandi dan terapung di Laut Mati. Dato' Wan Mustafa, Tuan Hj.Zuhdi, Us Zakaria, Us. aidil, Us. Bakar dan beberapa sahabat dari YINK. Saya hanya menjadi saksi dan menjadi juru gambar pada petang yang terik itu.! Sebenarnya, di sini...keadaan memang seperti MATI! Sunyi...tiada angin...tiada ombak dan ia meresahkan! Ramai juga yang mengambil garam yang sudah keras di gigi air untuk dijadikan cenderamata dan ada juga yang mengambil air untuk dibawa pulang ke Malaysia!
Kami berangkat kembali ke Amman meninggalkan Laut Mati dengan kisah kaum yang dilaknat Allah dan ditelan bumi ketika matahari hampir terbenam. Ramai yang keletihan terus melelapkan mata sebaik menaiki bas. Tambahan pula ramai yang masih dpengaruhi waktu Malaysia yang sudah melewati tengah malam walaupun jam di Jordan baru 7.30 malam!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan