1. Menziarahi Imam Nawawi Rahimahullah
Hari ini, selepas sarapan bersama ahli rombongan dan beberapa pelajar Syria yang menjadi pengiring sepanjang berada di sini, saya dan ahli rombongan menaiki bas ke Nawa, sebuah kampung kecil yang perjalanan pergi baliknya mengambil masa lebih tiga jam. Sepanjang perjalanan, saya melihat kesuburan bumi Syria yang makmur dengan pelbagai tanaman.
Terkadang terasa seolah-olah berada di Kedah bumi Jelapang Padi Malaysia bila terserempak dengan deretan lori dan traktor yang beratur panjang membawa bijirin gandum untuk dibawa masuk ke kilang. Selain gandum terdapat banyak ladang zaitun, anggur dan lain-lain tanaman. Sesekali bas yang sayya naiki berselisih dengan lori yang mutannya penuh dengan kentang yang cukup bermutu.
Nawa sebenarnya adalah bumi kelahiran al-Imam Nawawi Rahimahullah, seorang tokoh penting dan terkenal yang sering menjadi rujukan para ulamak dan cendikiawan Islam, bukan sahaja di kalangan pengikut mazhab Syafie tetapi juga mazhab-mazhab yang lain. Beliau telah mewakafkan dirinya untuk menyebarkan ilmu Islam sehingga ke detik terakhir kehidupannya. Beliau terkenal sebagi ulama' yang berprinsip dan mempunyai karamah-karamah tertentu. Berada di sampingnya dalam kawasan perkuburan lama di Nawa, adalah detik yang sangat mengharukan....Terkenang perjuangannya...kesungguhannya...dan pengorbanannya! terasa betapa kecil dan kerdilnya diri, di samping seorang ulamak besar yang cukup berjasa buat umat ini.
Setelah berdoa dan berada beberapa ketika di samping beliau di makamnya, saya dan ahli rombongan meninggalkan Nawa dengan penuh keinsafan. Saya dan beberapa ahli rombongan sempat menjengah ke Masjid Imam Nawawi dan solat sunat tahiyyat masjid di situ.
2. Membeli Belah di Pasar Hamidiyyah
Pulang dari Nawa, kami singgah ke sebuah restoran iaitu "Restoran Qaryah" yang cukup luas dan cantik untuk makan tengah hari. Seperti biasa, kami dihidangkan nasi arab berlauk ayam di samping roti, fun fries, hummush, salathah dan lain-lain.
Setelah mengambil beberapa keping gambar kenangan di restoran yang boleh menempatkan beratus-ratus orang dalam satu-satu masa dan boleh dikatakan restoran paling cantik di sepanjang lawatan Jordan / Syria ini, saya dan semua ahli rombongan sekali lagi menuju Pasar Hamidiyyah untuk shopping buat hari terakhir walaupun sebenarnya rata-rata telahpun membeli cendera mata kenang-kenangan di Pasar Hamidiyyah kelmarin.
Kalau di Mesir ada kawasan "beli belah" yang dikenali di kalangan pelancong sebagai Khan al-Khalili, di Syria pula Pasar Hamidiyyah cukup terkenal dengan pelabagai barangan yang dijual dengan harga berpatutan. Walaupun ianya tidak sesesak Khan al-khalili di Mesir, Pasar Hamidiyyah boleh dikira cukup meriah dan sentiasa bertali arus dengan pengunjung. Pasar yang bazar-bazarnya sama seperti di Mekah itu dilengkapi dengan kemudahan tandas awam selain jalan di tengahnya berbumbung yang cukup selesa kerana kita tidak dibakar terik matahari ketika berjalan dari satu bazar ke bazar yang lain.
Saya dan beberapa pelajar Syria yang ikut bersama dibahagikan dalam kumpulan-kumpulan untuk menemani ahli-ahli rombongan khususnya mereka yang tidak mahir berbahasa Arab. Saya menemani Tuan Hj. Mohd. Zuhdi, Pengurus Besar YINK dan isteri berjalan di sepanjang bazar Pasar Hamidiyyah dan beliau sempat membeli beberapa pasang baju termasuk beberapa pasang baju blazor. Saya sangat berbesar hati atas kemurahan hati beliau menghadiah sepasang blazor buatan Syria untuk saya. Terima kasih daun keladi .....
3. Menghadiri Perjumpaan Dengan Kebajikan Keluarga Kedah Syria (KKDS)
Selepas makan malam di restoran yang sama sejak hari pertama kami di Syria, saya bersama saudara Abu Bakar Yang Dipertua Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (Mesir) , saudara Zahir selaku Yang Dipertua KKDS serta saudara Faiz SU KKDS dan dua exco Hal Ehwal Wanita (HEWI) yang ikut bersama sejak awal pagi dalam lawatan hari ini menuju ke Rumah Persatuan Pelajar Malaysia di Syria dengan menaiki dua buah teksi.
Di sana, saya disambut barisan exco KKDS syabab dan HEWInya. Saya mengambil kesempatan bertaaruf dengan pimpinan KKDS dan bertukar-tukar maklumat dan pandangan dengan mereka. Setelah meninggalkan kepada anak-anak Kedah Syria beberapa pengharapan dari Pejabat Pegawai Kebajikan Anak Kedah (PKPK), saya bergegas pulang ke hotel kerana satu urusan lain. Sebelum beredar, saya sempat mengambil gambar kenangan dengan seluruh barisan kepimpinan KKDS. Saya meminta saudara YDP MKKK meneruskan majlis bersama kepimpinan KKDS bagi tujuan perkongsian pengalaman antara dua persatuan di bawah seliaan PKPK.
Saya bersyukur kerana punya masa yang cukup di Syria untuk bersama saf pimpinannnya berbanding ketika di Jordan tempoh hari. Apa pun, masa bersama dengan orang-orang harapan saya dan Kerajaan Kedah di Jordan dan Syria adalah detik penting untuk menjalinkan hubungan yang diharap akan lebih intim pada masa-masa akan datang.......Semoga kebajikan semua pelajar di Timur Tengah akan lebih baik dan terbela selepas ini...Insyaallah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan