Isnin, 1 Jun 2009

PULANG MENGEJUT

Salam rindu dari kejauhan..


Seisi keluarga menghantar kepulangan tak disangka!


Ketika saya menulis, saya baru sahaja sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi Singapura. Saya sedang menunggu penerbangan ke Pulau Pinang. Tak semena-mena Allah takdirkan saya terpaksa segera balik ke Malaysia sedangkan sebenarnya belum sebulan saya sampai di Mesir. Namun demikian sebuah ketetapan.... Syukur kerana anak kecil saya Ahmad hampir sembuh sepenuhnya dan tak perlu lagi dibawa ke hospital.

Anakanda Ahmad kembali ceria..



Saya terpaksa bergegas pulang kerana mengiringi seorang pelajar yang menghadapi masalah kesihatan dan perlu segera dihantar ke pangkuan keluarganya. Dikatakan beliau demam panas sebelum murung dan menghadapi tekanan perasaan. Setelah menghubungi ketua jabatan dan Pengarah JPMK, saya tawakkal membawa pelajar ini menaiki penerbangan dengan penuh debaran.



Membawa pelajar yang sedang menghadapi tekanan perasaan yang agak kritikal menempuh perjalanan berbelas jam tentu suatu pengalaman yang sukar dibayangkan. Saya hampir tertinggal beg kerana terpaksa melepasi pemeriksaan yang ketat sebelum memasuki penerbangan. Almaklumlah saya seperti membawa seorang anak kecil yang mesti diberitahu semua perkara. Alhamdulillah seorang pekerja yang amanah berjaya menemui saya dan memulangkan beg yang berisi pakaian dan kamera serta dokumen saya.



Cairo - Dubai 3 jam penerbangan


Kota Metropolitan Dubai dari udara

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul....Saya sangat bersimpati dengan ujian yang sedang dilalui oleh pelajar ini. Saya melayaninya bercakap hampir di sepanjang perjalanan.Puas saya memujuknya agar melelapkan mata, namun bagai ada terlalu banyak perkara dalam mindanya menyebabkan dia sangat susah untuk tidur. Banyak kali dia melepaskan nafasnya panjang-panjang dan itu sudah cukup membayangkan tentang apa yang sedang ditanggungnya. Setakat sampai di Changi Singapura keadaan masih terkawal tanpa masalah besar dan semoga saya selamat sampai ke Pulau Pinang dan menyerahkannya kepada pihak keluarga yang sedang menanti di sana tanpa masalah...Insyaallah.


Alhamdulillah...Di satu keadaan, saya bangga dan bersyukur kerana melihat ramai rakan dan sahabat dari kalangan anak-anak Kedah yang hadir menghantar pelajar ini pulang sedangkan musim imtihan sedang rancak dan belum berakhir. Tahniah kepada YDP MKKK yang saya lihat cukup perihatin dalam menyelesaikan masalah pelajar ini. Kepada penghuni-penghuni Asrama Darul Aman 2 ('Asyir) khususnya saudara Hasbullah, juga rakan-rakan di Asrama Darul Aman 3, saudara Fadhil, Che Li, Fairuz, Fahmi dan lain-lain, Abah bangga atas rasa susah, pedih, simpati dan empati yang kita dapat kongsi bersama dalam menghadapi ujian ini.



Antara sahabat yang hadir berkongsi rasa

Bersama Pengarah JPMK


Turut bersama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah adalah Pengarah JPMK Prof. Madya Dr. Jamil Hashim yang datang jauh dari Mohandessin. Bagi pihak Pejabat Pegawai Kebajikan Anak Kedah Mesir, saya mengucapkan terima kasih banyak buat Pengarah JPMK yang begitu mengambil berat kebajikan pelajar-pelajar di bumi Mesir ini. Manakala, Seperti biasa, isteri setia yang sentiasa menyokong saya dan anak-anak yang saya sayangi, akan pasti menghantar saya ke lapangan terbang bila saya ada tugasan luar sama seperti ketika saya di tanah air dulu. Walau berat kaki saya melangkah, walau berat hati saya dilepaskan pergi, dengan linangan air mata isteri dan anak-anak merelakan perpisahan sementara ini......


Saya menyambung catatan perjalanan ini setelah segalanya selesai dengan selamat......


Alhamdulillahi bihi tattimmus solihaat. Segala puji dan puja itu adalah tertentu bagi Allah SWT !Pesawat yang membawa saya dan pelajar seliaan saya ini selamat tiba di Pulau Pinang jam 9.30 pagi, Isnin 1hb Jun 2009 setelah mengharungi perjalanan hampir 15 jam. Hanya linangan air mata ahli keluarga yang menanti cukup menceritakan tentang debaran yang dilalui. Bergenang air mata lelaki saya melihat mereka berpelukan bersulam rasa syukur yang tidak terhingga kerana saya selamat menyerahkan amanah yang dibawa dari Lembah Nil kepada keluarganya. Saya juga jadi sebak kerana tidak menyangka langsung ibu, abang, kakak serta anak-anak saudara datang dari jauh menyambut saya di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas.


Disambut keluarga yang sabar menanti


Dari jauh Bonda datang menyambut sebuah kepulangan tidak diduga

Segalanya Satu Ketetapan!!!!

Tiada ulasan: