Selasa, 30 Jun 2009

PESANAN KEPADA YANG PULANG...

Salam rindu dari kejauhan....

Waktu bicara ini mula dicatat, ramai sudah anak Kedah yang selama ini berjuang di sini bersama-sama telah berangkat kembali ke tanah air. Panggilan kerinduan yang barangkali sudah tidak tertahan di samping kemampuan kewangan keluarga yang dalam keadaan tidak bermasalah untuk menanggung perbelanjaan, maka segalanya kelihatan jadi begitu mudah! Selepas sekumpulan, sekumpulan yang lain berlepas ke tanah air untuk bercuti...






Sebenarnya saya telah diminta pihak kepimpinan di tanah air supaya menasihati pelajar agar tidak pulang pada waktu cuti. Sebaliknya waktu cuti itu hendaklah diisi dengan menambah ilmu yang tidak diperolehi di bilik-bilik kuliah termasuk menghadiri kelas-kelas tafaqquh atau mengambil kursus-kursus Bahasa Arab demi meningkatkan upaya dan kemampuan pelajar dari segi keilmuan dan kemampuan komunikasi dalam bahasa tersebut. Namun, belum sempat saya memberikan nasihat, ramai yang sudah awal-awal lagi menempah tiket penerbangan pulang ke Malaysia walaupun sebahagian dari mereka adalah pelajar baru yang belum pun cukup setahun berada di bumi Mesir ini.!...





Namun, demikian "Sebuah Ketetapan"....! Rezeki mereka jelas telah ditentukan Allah SWT pulang bersama kaum keluarga dan sanak saudara di tanah air tercinta. Semuanya telah termaktub! Cuma, abah ingin berpesan kepada semua anak-anak abah yang pulang ke kampung halaman beberapa perkara :-

1- Pulanglah dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai azhari yang sentiasa dinanti sumbangannya dalam masyarakat.

2- Mulakan dengan memberikan rasa bahagia dan bangga pada kalbu ibu, ayah dan keluarga bila mereka melihat kelibat pertama kita menjejakkan kaki di bumi sendiri sebaik turun dari kapal besi terbang yang membawa kita, penampilan kita menyejukkan mata...menyedapkan rasa... menambahkan hormat pada seorang azhari atau azhariah...

3- Malanglah bagi seorang azhari, walau sekadar pulang bercuti, dia pulang tanpa misi, pulang dengan penampilan diri yang tidak menggambarkan peribadi azhari.

4- Berilah apa yang termampu sebagai balasan atas doa mereka pada kita selama ini...Cuba sedaya upaya membuat jasa dalam masyarakat. Semoga kita dah mampu jadi imam kat masjid atau surau di kampung, jadi khalifah tahlil dan mula belajar beri tazkirah atau kuliah subuh bila diminta. Kita tak rasa janggal atau malu untuk jadi bentara kenduri kampung atau ketua basuh pinggan mangkuk di gedohok!

5- Jangan sekali-kali sombong dan bangga diri atau rasa diri sempurna serta bijak bestari kerana selain di dunia kita dibenci masyarakat atas sikap kita, di akhirat kita akan jatuh muflis kerana pahala telah dimamah penyakit mazmumah ini!

6- Ikhlaskan hati dalam segenap amalan dan tindakan serta selalu bersifat tawadhu'. Biar manusia tidak berikan penghargaan kerana yang dicari ialah keredhaan tuhan! Yakini janjiNya bahawa yang ikhlas pasti mendapat balasan. Walau sebesar hama pasti Allah SWT akan tunjukkan suatu hari nanti...Ia pasti! Man Tawadha' Rafa'ahullah.......




Semoga mereka yang pulang ke tanah air akan menjadi kebanggaan al-Azhar kerana membawa pulang nilai dan harga al-Azhar dengan terjemahan ilmu dan amal yang telah diterima selama berada di persada al-Azhar sebelum pulang bersama sanak saudara dan masyarakat di Malaysia. Bertanggungjawablah untuk menjadi azhari dan azhariah yang sebenar!

Tiada ulasan: