Sabtu 27 Jun 2009 tercatat satu lagi sejarah khususnya untuk anak-anak Kedah di Lembah Nil ini dan umumnya Malaysia apabila dengan izin Allah telah bermula Pengajian Intensif Musim Panas yang diadakan di Dewan al-Ikha' wat-Tasamuh Asrama Darul Aman 3 di Haiyyu Sabeik. Sebenarnya, kita telah berjaya memperolehi persetujuan Maktab Ra'is Jamiiah al-Azhar as-Syarif baru-baru ini untuk mengadakan Daurah Ilmiah Saifiah yang akan diisi sepenuhnya oleh Ulamak-ulamak al-Azhar. Alhamdulillah 'ala hazihil minnah...
Aluan perasmian program
Program yang julung-julung kali diadakan ini, telah disiarkan secara langsung oleh Al-Muttaqin TV dan ia akan berlangsung setiap petang bermula jam 6 sehingga solat Maghrib kecuali hari Khamis dan Jumaat. Antara ulamak-ulamak al-Azhar yang turut bersama termasuklah Fadhilatu Syeikh Dr. Thoha Hubaisy, Dr. Bakar 'Awad, Dr. Mustafa 'Imarah, Dr. Abdus Salam Atiq. Manakala bidang disiplin ilmu yang akan dibincangkan termasuklah Akidah, Qadaya Fiqh Mua'sarah, Ulum Hadis, Mantiq dan Usul Fiqh.
Fadhilatus Syeikh Ustaz Doktor Jamal Faroq
Satu majlis telah diadakan sempena pembukaan rasmi musim pengajian dan selaku PKPK yang bertanggungjawab di sini, saya berkesempatan mengalu-alukan kehadiran para Masyayikh dan Dakatirah dari al-Azhar yang sudi bersama dalam memperkasakan keilmuan anak-anak bangsa di Lembah Nil ini. Kalau dulu, setiap yang ingin menambah ilmu selain dari yang diperolehi di dewan kuliah di universiti, dia mesti mencari di merata tempat seperti di Masjid al-Azhar dan lain-lain. Tetapi dengan program Pengajian Insentif Musim Panas ini, anak-anak Malaysia di sini hanya perlu istiqamah datang ke Rumah Kedah untuk menerima penitisan ilmu dengan cabangnya yang pelbagai dari para ulamak al-Azhar yang muktabar.
Bersama Fadhilatus Syeikh..
Pendek kata, anak-anak yang tidak pulang bercuti pada tahun ini adalah lebih beruntung kerana dapat menambah ilmu turas dan mua'asir dengan mudah. Alhamdulillah sambutan hari pertama sangat memberangsangkan dan semoga hari-hari seterusnya akan lebih menggalakkan Insyaallah. Program ini akan berlangsung selama dua bulan dan akan ditutup menjelang kedatangan bulan Ramadhan nanti.
Selesai majlis hari pertama Fadhilatus Syaikh Ustaz Doktor Jamal Faroq diraikan dalam sedikit jamuan di kediaman pegawai bersama beberapa tetamu termasuk Ustaz Abdullah Mad Atache Agama di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dan Ustaz Zainuddin Atache Pelajaran di Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah.
Jamuan nasi mandi
Adalah diharapkan kepada semua yang masih belum pulang ke Malaysia agar tidak melepaskan peluang untuk berada di kalangan tholib al-ilm dalam kebun syurga bersama para Ulamak al-Azhar yang dibawa khas ke ribaan pelajar-pelajar Malaysia di Rumah Kedah ini. Selamat Datang Ke Daurah Ilmiah Saifiah Mukassafah.......Ahlan Wa Marhaban Bikum!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan