Selasa, 6 Julai 2010

MESYUARAT LAWATAN KERJA YAB DATO' SERI MB DI KEDUTAAN BESAR MALAYSIA KAHERAH

 
Tanggal 6hb. Julai, 2010, saya menghadiri mesyuarat kali pertama bersama Kuasa Usaha Sementara En Shaiful Anuar di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah bagi membincangkan berkenaan lawatan kerja YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak Menteri Besar Kedah Darul Aman yang dijadual sampai pada awal pagi 8 Ogos akan datang sebelum berlepas ke Arab Saudi pada 11 Ogos bagi meneruskan lawatan kerja beliau di sana.

Mesyuarat yang berlangsung di bilik TYT Duta Besar itu turut disertai dua lagi orang penting KBMK iaitu En. Iskandar dan juga En. Sharbini. Sehari sebelum itu, saya telah menghubungi PA TYT bagi tujuan temu janji dengan En. Shaiful. Alhamdulillah, Allah takdirkan pagi yang sama saya sampai di KBMK, pagi itu juga pihak KBMK menerima surat dari Wisma Putera yang telah memanjangkan surat rasmi dari pejabat YAB MB yang memaklumkan berkenaan lawatan rasmi tersebut. 

Lebih 2 jam berbincang berdasarkan tentatif yang dibekalkan pihak pejabat YAB MB. Dengan kerjasama pihak KBMK terasa ringan menguruskan apa yang diminta pejabat YAB MB, sedangkan sebelum itu, hati asyik berdebar mengenangkan 22 ahli rombongan yang akan sampai nanti. Rombongan YAB MB dijangka akan melawat ladang-ladang pertanian serta pusat ternakan di samping mengadakan beberapa kunjungan hormat termasuk ke atas Menteri Pertanian Mesir dan pihak tertinggi Universiti Al Azhar. Satu mesyuarat bersama MKKK akan diadakan untuk membentuk adhoc yang akan memastikan kelancaran khususnya Majlis Ramah Mesra Bersama YAB MB yang akan diadakan pada malam 9hb Ogos nanti.

Tiada ulasan: